Wednesday 28 November 2012

TG 11: PBS - membebankan guru?

Salam hormat dan sayang kepada semua yang mengikuti blog ini.

Agak lama tidak menjenguk blog ini kerana keadaan yang tidak dapat dielakkan, namun didayakan juga untuk terus menulis beberapa perkara yang mungkin menjadi isu yang hangat diperdebatkan  pada kalangan guru terlibat dalam pelaksaan PBS sekolah rendah dan menengah. Beberapa isu yang dibangkitkan sebenarnya bukan berpunca dari PBS tetapi dari sistem kemasukan markah pusat. Masalah kemasukan markah memang tidak dapat dielakkan, terutama pada peringkat awal pelaksanaan PBS ini  dan kerja meningkatkan keupayaan sistem seharusnya menjadi prioriti utama kementerian.  Seperti mana pengenalan pendaftaran atas talian dahulu, akhirnya sistem dipertingkatkan untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh guru.

PBS membebankan guru, saya benci PBS, hapuskan PBS...merupakan antara reaksi sebahagian guru yang diluahkan melalui pelbagai media terutama media elektronik. Reaksi yang memang dijangka apabila guru tidak memahami apa dia PBS dan bagaimana melaksanakan PBS. Saya memang bersimpati dengan guru-guru ini yang tidak dinafikan sebenarnya mendapat maklumat yang kecairannya mungkin melebehi 50% daripada punca sebenarnya. Kementerian Pelajaran memperkenalkan PBS dengan niat murni setelah sekian lama pendidikan terabai daripada murid. Pendidikan terabai kerana selama lebih 50 tahun, minda massa disuapkan dengan kehebatan peperiksaan, yang sebenarnya memesongkan pendidikan daripada matlamat sebenarnya. Peperiksaan melihat keupayaan kademik, yang hanya berkisar di sekitar keupayaan kognitif murid. Akibatnya aspek bukan akademik ditinggalkan guru kerana sekolah lebih ghairah mengejar kelulusan 100% dan straight A's, dan akhirnya lahirlah insan-insan yang tidak seimbang, cemerlang akademik tetapi gersang daripada aspek non-akademik - adab, nilai dan kemahiran sosial. Falsafah Pendidikan Kebangsaan hanya menjadi simpanan dalam perpustakaan tanpa direalisasikan.

Penurunan maklumat daripada pusat ke sekolah memang akan mengalami ketirisan di sepanjang perjalanan, kerana melalui pelbagai peringkat - kementerian-jabatan pelajaran negeri-pusat pendidikan  daerah-pengurusan sekolah- guru kanan matapelajaran- guru atau kementerian-juru latih utama- guru kanan mata pelajaran-guru. Sama ada terdapat maklumat yang tertinggal atau pun maklumat yang disalah tafsirkan. Guru yang menerima pada peringkat akhir akan menjadi mangsanya sedangkan merekalah yang akan melaksanan PBS ini.  Dari pengalaman, guru akan lebih memahami sekiranya penerangan dilakukan oleh pegawai Lembaga Peperiksaan (LP). Tetapi pihak LP tidak berupaya untuk pergi ke setiap sekolah untuk memberikan penerangan, justru sekolah-sekolah dalam satu-satu kawasan atau PPD eloknya menganjurkan penerangan yang dilakukan oleh pegawai LP untuk membantu guru.

PBS adalah program yang telah dirancang dengan teliti, setelah mengadakan beberapa persidangan (tempatan dan antara bangsa), perbincangan dan maklumat dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti pengetua/ guru besar, guru, ibu bapa, persatuan guru,  NGO dan pakar pendidikan dalam dan luar negara. Amat malang jika program yang dihasilkan daripada segala usaha ini hendak ditamatkan. Kepada guru yang terlibat dengan PBS jangan lah cepat merasa kecewa, dapatkan maklumat sebenar tentang PBS sama ada daripada pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau daripada media elektronik. Banyak ruang untuk bertanya ada di banyak tempat.

PBS adalah untuk anak-anak murid yang akan mengemudikan negara ini pada masa depan. Kita ingin melahirkan insan yang cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi, sama ada akademik atau pun bukan akademik. Yang cemerlang akademik dipupuk supaya mencapai kejayaan tertinggi dalam bidang ini, tetapi yang kurang cemerlang dalam akademik juga kita pupuk, agar kita akan mempunyai kumpulan nelayan cemerlang, penggiat seni cemerlang, peniaga cemerlang, petani cemerlang dan sebagainya. Kita pupuk mereka ikut keupayaan dan kecenderungan mereka di samping penekanan kepada nilai-nilai murni dan adab sopan.  Setiap murid mempunyai keupayaan dan kecenderungan yang berlainan, kenal pasti itu dan jadikan mereka insan yang berjaya dan terbaik dalam bidangnya.

Sekian.

Tinta Guru
29/11/12



Tuesday 9 October 2012

Sudut Pandangan TG

Salam hormat kepada semua yang mengikuti blog ini.

10.10.12 - pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan  2012 peringkat kebangsaan di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan oleh TPM, YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin dengan tema Mertabatkan Bahasa Kebangsaan Kita.

  1. Terasa terpanggil untuk menulis sedikit tentang topik ini.  Riak pertama perasaan apabila membaca hebahan ini  sedih dan sayu. Perasaan ini berbaur dengan rasa kecewa dan marah. Kenapa? Di negara orang Melayu yang diperintah oleh orang Melayu, bahasa Melayu kian terpinggir. Selepas 55 tahun merdeka, dan termaktub dalam perlembagaan bahawa Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan negara,Bahasa Melayu masih lagi terkial-kial untuk hidup sebagai satu bahasa yang gah dan disegani. Terasa hina apabila selepas 55 tahun merdeka masih ada keperluan untuk mengadakan bulan Bahasa Kebangsaan sedangkan sepatutnya setiap warga Malaysia  merupakan penutur Bahasa Melayu yang fasih dan digunakan dalan semua bidang - pentadbiran, perniagaan, pengurusan dan sebagainya. Sepatutnya, bulan bahasa adalah untuk bahasa asing, bahasa kedua atau ketiga dan bukan selayaknya Bahasa Kebangsaan masih memiliki bulan untuk dirayakan. Bertambah sedih apabila masih ada warga yang tidak boleh bertutur dengan baik Bahasa Melayu.
  2. Wujud konflik yang besar dalam hal ini, antara pembuat dasar  yang nampak bersungguh untuk memertabatkan bahasa Melayu dan pelaksana yang acuh tak acuh tentang Bahasa Melayu, malah mungkin malu untuk bertutur dalam Bahasa Melayu, baik di dalam negara, apatah lagi di luar negara. Tiada rasa sayang dan bangga dengan bahasa ini, sebaliknya menyanjung tinggi bahasa asing. Bertambah teruk apabila penjawat awam, dari yang paling tinggi hinggalah ke paling rendah, dan pak dan mak  menteri enggan bertutur dalam Bahasa Melayu. Sedangkan merekalah yang sepatutnya pembawa obor, pemangkin kepada perkembangan penggunaan bahasa ini.
  3. Kedudukan Bahasa Melayu di IPT juga semakin mengecut. Kita tidak menafikan keperluan bahasa asing, terutamanya Bahasa Inggeris yang didakwa sebagai bahasa paling dominan dalam dunia hari ini, untuk dikuasai oleh rakyat. Tetapi dengan mengecutnya peranan Bahasa Melayu di IPT, bilakah Bahasa Melayu akan menjadi bahasa ilmu dan bahasa utama dunia? Ilmu bukan hanya ada dalam bahasa Inggeris, ilmu terdapat banyak dalam bahasa Rusia, bahasa Jerman, bahasa Perancis, bahasa Jepun, bahasa Arab, bahasa Korea dan banyak bahasa lain. Bahasa Melayu juga boleh menjadi bahasa ilmu dan bahasa utama dunia sekiranya sikap bangsa Melayu sendiri dan warga Malaysia terhadap Bahasa Kebangsaan ini diubah. Amat sedih apabila UKM yang dilahirkan hasil daripada semangat kebangsaan untuk memertabatkan Bahasa Melayu, kini berubah arah dan meninggalkan Bahasa Melayu jauh ke belakang berbanding dengan Bahasa Inggeris. Amat terpesona kita dengan bahasa Inggeris, dan berjuraianlah air mata para pejuang dulu yang bersusah payah memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, hari ini melihat betapa terhakisnya Bahasa Melayu dari IPT. Harapan yang lebur dalam perjalanan masa oleh bangsanya sendiri.
  4. Amat tidak relevan untuk mengatakan Bahasa Melayu menyekat pemerolehan ilmu. Sejak sekian lama sudah ratusan ribu anak Melayu dan anak Malaysia yang lain, yang bersekolah dalam aliran Melayu sehingga ke menengah atas, mencapai kejayaan cemerlang dalam pelbagai bidang pengajian diluar negara. Bukan dalam bahasa Inggeris sahaja tapi dalam pelbagai bahasa.  Saya bersekolah Melayu hingga darjah enam di sekolah kampung, bersekolah aliran Melayu hingga ke Tingkatan Enam, belajar di UKM yang menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya (masa itu) higga tamat pengajian. 100% dalam bahasa Melayu. Tapi saya juga berjaya memperoleh ijazah Sarjana di USA dan Ph.D di United Kingdom yang tidak menggunakan bahasa Melayu. Boleh, asalkan ada azam, semangat dan ikhlas dalam perjalanan mendapatkan ilmu.
  5. Pihak berwajib seharusnya lebih berlapang dada untuk melihat perkara ini. Amat malang  dan memalukan apabila saban tahun masih perlu diadakan Bulan Bahasa Kebangsaan sedangkan kita telah merdeka 55 tahun. Pegawai atasan perkhidmatan awam seharusnya dilarang menggunakan bahasa asing dalam apa jua keadaan kecuali ketika berurusan dengan orang luar, dan pak dan mak menteri juga harus diwajibkan bertutur dalam Bahasa Melayu dalam sebarang situasi - temu ramah, bual bicara, persidangan, mesyuarat dan sebagainya. Jadilah model terbaik untuk rakyat. BAHASA JIWA BANGSA.

Monday 8 October 2012

PENILAIAN MENENGAH RENDAH - PMR: ADAKAH INI PENGAKHIR DUNIA???

Salam hormat kepada semua yang mengikuti blog ini.

9 September 2012, hari pertama PMR dijalankan bagi kumpulan dipenghujung hayat PMR. Betapa tekanan yang amat berat diberikan kepada anak-anak yang akan menduduki peperiksaan ini, seolah inilah penentu hidup mati mereka. Anak-anak menjadi tertekan, gelisah, takut, malah ada yang sampai merasa  seperti nak mati untuk menduduki peperiksaan ini. Kerana apa? Kerana tekanan ibu bapa/ penjaga yang amat besar, malah kadang kala menjadi keterlaluan, untuk melihat anak-anak mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.  Justru, ada anak yang memilih jalan mudah apabila keputusan peperiksaan tidak memenuhi harapan ibu bapa dan keluarga..mengakhiri hidup di dunia ini. Dan kita tidak mahu melihat kejadian seperti ini berlaku lagi dalam kalangan anak-anak kita,. Anak-anak menjadi mangsa.

Massa melihat peperiksaaan, bukan hanya PMR, tetapi kesemua peperiksaan yang dijalankan secara berpusat sebagai matlamat pendidikan anak-anak-anak di sekolah. Melihat secara rasional dan jujur, adakah ini  matlamat atau objektif pendidikan? Banyak yang telah saya tuliskan tentang peperiksaan dan pentaksiran. Masyarakat kita masih tidak dapat berganjak daripada paradigma lama, melihat peperiksaan sebagai segalanya bagi pendidikan. Persepsi yang ternyata amat tersasar daripada matlamat dan objektif pendidikan sebenar. Peperiksaan hanya melihat satu aspek daripada satu keseluruhan tentang pendidikan, aspek akademik, sedangkan pendidikan meliputi aspek non-kognitif -  afektif dan psikomotor.

Matlamat pendidikan negara menghasilkan insan yang menyeluruh daripada segi intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial (Falsafah Pendidikan Kebangsaan = FPK). Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan langkah besar untuk menuju ke arah ini, yang dimulakan tahun ini, walaupun FPK sudah dilahirkan puluhan tahun yang lalu, seusia dengan KBSR dan KBSM yang sudah pun hampir jumud. Perkembangan menyeluruh murid tidak dapat dilihat melalui peperiksaan. Ia maklumat yang tidak seimbang. Disamping itu, berilah peluang anak-anak belajar dengan gembira, selesa tanpa tekanan peperiksaan.

Keupayaan sebenar anak-anak dipupuk melalui pendidikan, pembelajaran yang bermakna, bukan peperiksaan. Tidak hairan ada tokoh pendidikan yang mengatakan..."sekolah adalah neraka bagi anak-anak di Malaysia...". Mereka dibebankan dengan harapan yang terlalu besar, waktu persekolah yang panjang  menyuapklan hanya tentang akademik,  komunikasi satu hala, kelas tuisyen selepas sekolah, kelas tambahan, kerja rumah yang kadang kala dibuat oleh ibu bapa sendiri kerana anak sudah terlalu letih, dan sebagainya. Para guru ditekan untuk menghabiskan kurikulum seawal mungkin untuk membolehkan latih tubi, ujian percubaan, dan persediaan nmenghadapi peperiksaan.  Mereka tidak mempunyai ruang untuk mengekspresi diri mereka, menunjukkan kecenderungan, minat dan bakat mereka. Akhirnya ramai yang kecundang dipertengahan jalan, kerana tidak diberi ruang dan kesempatan untuk memupuk bakat dan kecenderungan mereka.

Mungkin penulisan ini bertentangan dengan sebahagian pandangan ibu bapa dan massa. Namun ini adalah hakikat pendidikan. Kita telah terlalu lama menidakkan pendidikan kepada anak-anak kita dan kini mungkin masa terbaik untuk kembali ke landasan sebenar.  Biarkan anak-anak menikmati masa muda mereka dan belajar dengan seronok tanpa tekanan peperiksaan. Guru juga boleh mengajar dengan selesa, kreatif,  dan bebas daripada tekanan. Walau bagaimanapun, untuk anak-anak yang menduduki PMR mulai hari ini, Selamat Berjaya.

Tinta Guru
9/10/12

Saturday 29 September 2012

TG10 : Bagaimana Guru Berperanan Dalam Pelaksanaan PBS

Salam sejahtera kepada semua yang mengikuti blog ini.

Banyak sudah yang saya tuliskan tentang PBS. Buat kali ini, serba sedikit dicatatkan tentang bagaimana guru berperanan dalam PBS.

  1. Guru harus memiliki dan menguasai dengan baik dan mendalam tentang ilmu mata pelajaran yang diajar. Tanpa penguasaan yang baik dalam mata pelajaran, guru tidak dapat menyampaikan ilmu mata pelajaran tersebut dengan berkesan. Setiap mata pelajaran mempunyai 'body of knowledge' nya yang khusus yang tidak mungkin dapat disampaikan oleh orang yang bukan dalam bidangnya.  Mungkin terdapat sekolah yang mengalami masalah kerana gurgju yang mengajar merupakan guru bukan opsyen, guru Bahasa Inggeris mengajar Sains, Geografi, Sejarah, guru Bahasa Melayu mengajar Pendidikan Islam, Sains, dan sebagainya. Ini merupakan realiti yang wujud di seluruh negara, dan pihak berwajib seharusnya mengambil tindakan tegas dalam mengatasi masalah ini.. Situasi ini sebenarnya mengorbankan masa depan murid. Setiap mata pelajaran mesti diajar oleh guru opsyen mata pelajaran tersebut. Sering terjadi pihak yang berwajib membuat unjuran yang salah dalam perancangan, seperti penutupan maktab perguruan, mengeluarkan tulisan jawi daripada mata pelajaran Pendidikan Islam dan sebagainya. Pendidikan negara akan terjejas teruk sekiranya situasi ini berlarutan.
  2. Guru harus tahu tentang kurikulum, matlamat dan objektif kurikulum. Kurikulum melakarkan tentang ruang lingkup bidang ilmu yang harus dipelajari oleh seseorang murid dalam sistem pendidikan formal, konstruk yang ingin dibangunkan dalam diri murid,  meliputi ilmu dan kemahiran yang terkandung dalam mata pelajaran tersebut serta nilai-nilai murni yang ingin diterapkan. Setiap kurikulum mempunyai matlamat dan objektifnya dan guru harus memahami setiap yang disenaraikan dalam matlamat dan objektif sesuatu mata pelajaran.  Guru yang tidak pernah membaca dan memahami matlamat dan objektif mata pelajaran akan tersasar dalam pengajarannya, menjadikan murid sebagai mangsa.
  3. Disamping itu, guru juga harus memahami aspek psikomotor  yang ingin dibangunkan pada setiap murid. Aspek psikomotor penting bagi mengesan  masalah pergerakan murid, dan pengesanan peringkat awal amat penting. Aspek psikomotor bukan hanya dalam mata pelajaran pendidikan jasmani tetapi meliputi kesemua mata pelajaran. Gerakan motor kecil seperti cara memegang pensil, pergerakan mulut waktu bercakap, cara berjalan perlu diberikan perhatian dan diperbetulkan.
  4. Guru harus memiliki ilmu dan kemahiran tentang pentaksiran pendidikan, apa dia pentaksiran, bagaimana mentaksir, bila mentaksir, siapa mentaksir, apa yang perlu direkodkan, bagaimana merekod dan bagaimana rekod disimpan. Perlu difahami oleh guru  apa dia item yang baik, instrumen yang baik, kesahan dan kebolehpercayaan, cara pemarkahan dan pengendalian pentaksiran.  Guru juga harus mengelakkan diri daripada bersikap tidak adil, dan bias terhadap seseorang murid, sekumpulan murid, ethnik tertentu, atau status sosial tertentu. 
  5. Guru harus tahu dan faham tentang jenis-jenis ujian seperti ujian kesediaan, ujian pencapaian, ujian minat dan bakat,  ujian psikometrik dan ujian PAJK.  Pemahaman tentang jenis-jenis ujian ini amat penting kerana ini merupakan ujian yang akan digunakan sepanjang masa pembelajaran murid. Ini termasuk mengenal pasti instrumen, bagaimana mengendalikan instrumen, kumpulan sasar instrumen, bagaimana menginterprestai skor, dan bagaimana pelaporan dilaksanakan. Perlu diingat, setiap instrumen  dibina dengan tujuan berbeza dan kesilapan mentadbirkan instrumen akan menghasilkan maklumat yang tidak sah dan tidak boleh dipercayai.
  6.  Guru harus kreatif - mempelbagaikan pendekatan pengajaran agar menarik dan berkesan. Guru juga harus kreatif dalam pelaksanaan pentaksiran, bila masa yang sesuai untuk mentaksir dan siapa yang akan mentaksir. Kreativiti berkait rapat dengan penguasaan ilmu yang baik dalam sesuatu mata pelajaran. Justru, guru yang mengajar bukan mata pelajaran opsyen akan hanya merosakkan masa depan murid. Kreativiti juga berkait rapat dengan penggunaan alat bantuan mengajar, penggunaan teknologi masa kini, pendekatan pengajaran yang tidak berpusatkan guru serta komunikasi sehala dan penggunaan ruang yang lebih fleksibel, bukan hanya bilik darjah. Gunakan pendekatan bilik darjah tanpa sempadan (borderless classroom).
  7. Guru harus mengenali setiap murid di bawah tanggung jawabnya dengan baik - untuk mempastikan pentaksiran yang berkesan boleh dijalankan. Guru bukan hanya perlu tahu tentang keupayaan akademik murid tetapi juga kesemua konstruk yang ingin dibangunkan dalam diri murid - pengetahuan, kemahiran dan nilai, yang meliputi bidang kognitif, afektif dan psikomotor. Selain daripada itu, guru juga perlu mengenal pasti kecenderungan murid, minat dan bakatnya. Pengenalpastian ini amat penting kerana pemupukan dari awal akan kecenderungan dan bakat murid dapat melahirkan murid yang berjaya dalam bidang yang diminatinya.
  8. Guru harus berupaya menjalankan kerja secara berpasukan - dengan guru lain, pentadbir, ibu bapa/ penjaga. Ini kerana pentaksiran memerlukan maklumat yang menyeluruh daripada pelbagai sumber yang boleh dipercayai untuk membolehkan pelaporan yang tepat dibuat. Penyelarasan perlu dilakukan sebelum laporan akhir dibuat.
  9. Guru harus mengikuti perkembangan ilmu mutakhir - bagi mata pelajaran yang diajar dan ilmu pentaksiran. Pendedahan kepada perkembangan mutakhir menjadikan guru sentiasa berada pada kedudukan yang selesa apabila berhadapan dengan murid dan juga pihak lain yang berkepantingan. Perlu diingat, kita mendidik anak murid untuk mereka hidup pada masa hadapan yang tidak diketahui suasananya, bukan untuk hidup seperti zaman kita atau zaman sebelum kita. Guru mesti perlu berada sekurang-kurangnya setapak dihadapan murid. Dunia teknologi maklumat hari yang berkembang pesat setiap hari perlu dimanafaatkan sepenuhnya.
  10. Guru boleh berkomunikasi dan bekerja sama dengan guru sekolah lain bagi menjamin pentaksiran yang adil dan setara. Melalui kerja sama ini, guru boleh berkongsi ilmu dan kemahiran bagi membolehkan pentaksiran dijalankan dengan berkesan.
  11. Perlu diingat, guru adalah profesyen mulia, dan sebagai profesional, guru perlu memiliki etika yang terbaik untuk menjadi contoh dan idola kepada murid. Hanya guru sendiri yang boleh memberikan imej baik kepada profesyen ini dan meningkatkan profesyen ini kepada tahap yang tertinggi  dan dihormati.
Sekian buat kali ini, hingga pada penulisan yang akan datang, salam dari saya.


Tinta Guru
29/9/12


Saturday 22 September 2012

TG9: PBS - apa yang perlu guru tahu.

Salam kepada semua,

Agak lama mendiamkan diri, kini saya cuba kembali berkongsi ilmu dan pandangan dengan para rakan yang mengikuti blog ini. Sejak PBS dilaksanakan untuk murid tahun 1 dan Tingkatan 1, banyak isu dan persoalan yang timbul, terutama  pada kalangan guru dan juga ibu bapa/ penjaga tentang PBS ini. Justru saya ingin memberikan serba sedikit pandangan tentang isu ini.

  1.  Beban tugas guru meningkat - sebenarnya ini berkait dengan pemahaman tentang apa dia PBS. PBS tidak membebankan guru atau menambah beban kerja guru sekiranya guru memahami bagaimana program ini harus dilaksanakan.
  2. PBS bermakna segala pentaksiran dijalankan oleh guru dan pihak sekolah 100%. Ini bermakna penyediaan item, instrumen, jadual pentaksiran, kekerapan mentaksir, siapa yang mentaksir, apa yang ditaksir ditentukan oleh guru dan pihak sekolah. Ini sebenarnya telah berlaku di sekolah, bukan perkara baru. Guru membina item dan instrumen untuk ujian bulanan, pertengahan tahun, akhir tahun dan lain-lain jenis ujian. Guru memerhati murid dan membuat laporan akhlak pada penghujung semester dan hujung tahun. Guru membuat kuiz, ujian ejaan, congak kepada murid. Guru berbual dengan murid, menemu bual murid, menjalankan ujian lisan dan sebagainya. Guru sentiasa berinteraksi dengan murid sepanjang masa persekolahan. Tidak ada perkara baru dari segi tugas guru. Yang dikatakan tambahan adalah penyediaan portfolio murid dan menyimpan rekod pencapaian dan keupayaan murid secara sistematik. Guru adalah profesyen yang diterima sebagai profesional. Maka guru harus bersikap, berfikiran dan bertindak sebagai seorang profesional.
  3. Seperti yang telah saya jelaskan dalam penulisan tentang pentaksiran, setiap murid harus ditaksir sejak hari pertama mereka memasuki sekolah hingga hari akhir mereka bersekolah. Bagaimana guru mentaksir bergantung kepada guru mengikut kesesuaian dan latar persekitaran murid dan sekolah. Tidak ada dan tidak perlu satu instrumen yang standard untuk mentaksir setiap orang murid.
  4. Band standard prestasi  - merupakan band yang menghuraikan tahap pencapaian dan penguasaan seseorang murid setelah menjalani satu-satu proses pembelajaran. Satu ujian, satu pemerhatian dan satu perbualan tidak mendatangkan maklumat yang cukup untuk meletakkan seseorang murid pada satu-satu band. Penentuan band dibuat selepas satu-satu proses pembelajaran berlaku dan pelaporan dibuat. Penetapan band seseorang murid perlu berdasarkan rumusan himpunan maklumat yang dikumpul sepanjang masa pembelajarannya yang meliputi aspek kognitif, afektif dan psikomotor. Seorang guru boleh mendapatkan kedudukan band seseorang murid daripada pelaporan guru tahun sebelumnya. Guru tingkatan 1 akan membuat pelaporan dan penetapan band murid pada akhir tahun dan akan menyampaikannya kepada guru tingkatan 2, dan begitulah seterusnya.
  5. Guru harus melepaskan diri daripada stigma peperiksaan. Guru juga harus bersikap adil dan tidak bias berdasarkan kepercayaan, ethnik, budaya dan agama. Peperiksaan bukan matlamat pendidikan kerana peperiksaan hanya memberikan maklumat keupayaan akademik/ kognitif murid berdasarkan keupayaan mereka menjawab sejumlah item dalam satu-satu instrumen pentaksiran. Maklumat peperiksaan tidak seimbang, hanya memberi satu aspek yang kecil dalam pendidikan. Pendidikan adalah pembinaan manusia untuk menjadikan mereka insan yang berguna, dunia dan akhirat.
  6. Ibu bapa/ penjaga seharusnya memberi kepercayaan kepada guru dan sekolah dalam pelaksanaan PBS kerana Kementerian Pelajaran telah merancang perkara ini dengan teliti. Pihak sekolah pula seharusnya keluar dari kotak pemikiran lama yang mengasingkan sekolah daripada massa - di bawah PBS, ibu bapa/ penjaga boleh bekerja sama dengan pihak sekolah untuk terlibat sama dalam pentaksiran murid.   Pihak luar yang berpengetahuan juga boleh dilibatkan sama, seperti dalam pentaksiran nilai murni/ adab, kemahiran berkomunikasi, aktiviti jasmani dan sebagainya.
  7. Pendekatan ini memang merupakan perkara baru dalam sistem pendidikan negara, yang memberi pengiktirafan kepada kerja-kerja mentaksir oleh guru yang sebelum ini tidak diambil kira dalam pelaporan murid. Peperiksaan memberi banyak kesan negatif (telah saya sentuh dalam penulisan terdahulu) kepada murid, guru dan juga ibu bapa/penjaga. Masyarakat harus keluar daripada padigma lama tentang pendidikan. Banyak negara maju telah meniggalkan peperiksaan berpusat lama dahulu dan terus unggul dalam bidang pendidikan.
  8. PBS memberi ruang kepada guru untuk berkarya, kreatif dan memupuk kebolehan murid ke tahap tertinggi tanpa perlu risau untuk menghabiskan sukatan pelajaran. Guru harus berupaya mengenal pasti keistimewaan setiap muridnya dan membentuk setiap murid mengikut tahap keupayaan mereka agar apabila mereka meninggalkan sekolah, mereka memiliki sesuatu yang membolehkan mereka hidup dengan bermakna pada masa hadapan. Jangan paksa seorang murid yang hanya berkeupayaan seperti motosikal dengan daya kekuatan 50cc untuk bertanding dengan murid yang mempunyai keupayaa seperti motor berkuasa 1,000cc. Biarkan murid yang berkeupayaan 50cc berjalan mengikut keupayaannya dan murid yang berkeupayaan 1,000 cc memecut selaras dengan keupayaannya.

Sekian buat kali ini. Semoga apa yang ditulis ada manafaatnya.

Tinta Guru
22/9/12

Thursday 12 July 2012

TG8 : Portfolio dan Penyelarasan Skor

Salam persahabatan kepada semua,

Setelah menyentuh serba sedikit tentang kaedah pentaksiran, instrumen pentaksiran dan merekod, kali ini saya ingin menerangkan serba sedikit tentang portfolio murid. Portfolio sebenarnya terdapat dalam banyak bentuk, bergantung kepada keselesaan guru yang mengendalikannya.  Portfolio boleh berbentuk fizikal seperti fail keras dan  fail kotak, ataupun dalam bentuk maya yang disimpan dalam cakera keras komputer atau pen-drive.  Setiap satu bentuk ini mempunyai kelebihan dan kekuranganya.

Jenis portfolio - setiap orang guru sepatutnya menyimpan dua bentuk portfolio.

Portfolio 1 :  portfolio individu untuk semua orang murid bagi menyimpan eviden hasil  kerja murid. Portfolio ini menyimpan hasil kerja murid sepanjang tempoh pembelajarannya, disimpan oleh guru mata pelajaran atau mana-mana guru yang bertanggung jawab, dan menyimpan hasil kerja murid seperti kertas projek, jawapan ujian atau peperiksaan, artifak (pendidikan seni), rekod pencapaian, dan rekod penyertaan. Hanya eviden yang terbaik disimpan dalam portfolio ini. Semua eviden ini akan digunakan semasa membuat penilaian dan penghakiman untuk pelaporan akhir murid. Dengan bahan bukti yang banyak dan pelbagai, guru seharusnya dapat meletakkan murid dalam band yang bertepatan  dengan keupayaan dan pencapaian murid itu. Semakin banyak maklumat yang ada, semakin tepat pelaporan yang dibuat dan semakin boleh dipercayai pelaporan yang dikeluarkan.

Portfolio 2 : portfolio ini mengandungi rekod pentaksiran murid, sama ada dalam bentuk markah, pelaporan, gred, atau lain-lain bentuk pelaporan hasil pentaksiran yang dijalankan ke atas murid.  Ini termasuklah markah kuiz, ujian, peperiksaan, hasil kerja murid (artifak), hasil pemerhatian, temu bual dan sebagainya.  Portfolio ini mungkin berupa matriks nama murid dan skor yang diperolehi sepanjang masa pembelajarannya, dan hanya satu portfolio untuk semua murid yang berada dalam satu-satu kelas. Perlu diingatkan sekali lagi, skor bukan sahaja markah, tetapi juga dalam bentuk lain seperti pernyataan gagal-lulus, mencapai-tidak mencapai, gred, warna, bintang, dan sebagainya.

Dalam pelaksanaan PBS, semua skor murid perlu diselaraskan antara guru kelas dengan guru mata pelajaran/kelab/persatuan/sukan sebelum pelaporan akhir dan penentuan band murid dilakukan. Oleh itu, setiap sekolah perlu mempunyai struktur organisasi yang sempurna dan kerja sama yang erat antara semua guru dan pentadbir untuk membolehkan proses pentaksiran berjalan dengan sempurna dan tepat. Perlu ada prosedur piawai untuk melaksanakan penyelarasan ini dan pendekatan yang sesuai. Guru kelas, guru mata pelajaran, Ketua Bidang, Ketua Panitia, Guru Penolong  Kanan dan Pengetua semuanya mempunyai peranan yang penting untuk menjamin integriti  sistem pentaksiran dan kredibiliti sekolah dan kementerian.  Disinilah guru harus menunjukkan sikap profesionalisma yang tinggi, melepaskan diri dari bias dan ketidak adilan dalam membuat keputusan. Dalam sistem pentaksiran, semua guru dan pihak pentadbir akan terlibat sama daripada mula pentaksiran dilakukan sehingga pelaporan disediakan.  Pelaporan tentang setiap orang murid mesti dipersetujui bersama oleh semua pihak yang terlibat.

Sekian, buat kali ini, hingga di lain masa, salam hormat dari saya.

Tinta Guru
13 Julai 2012





Sunday 8 July 2012

TG7 : Merekod

Salam mesra buat semua yang sudi melayari blog ini. Blog ini diwujudkan khusus untuk perkongsian ilmu, untuk semua yang berminat.

Setelah menulis serba sedikit tentang instrumen, kali ini saya ingin menyentuh tentang aspek merekod pula. Pelbagai bentuk rekod boleh diwujudkan, tetapi seeloknya, sistem yang digunakan hendaklah mudah tetapi mempunyai maklumat yang penting tentang konstruk yang ingin dibangunkan dalam diri murid iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai.

Terdapat pelbagai jenis rekod, tetapi yang paling asas adalah rekod pribadi murid. Pada prinsipnya, rekod ini seharusnya disediakan oleh guru pada tahun pertama murid memasuki alam persekolah. Teknologi yang ada patut dipergunakan sepenuhnya dan rekod ini harus disimpan dalam bentuk maya di samping rekod dalam bentuk  fizikal. Guru yang menerima murid itu seterusnya tidak perlu lagi memasukkan semula data pribadi murid sekali lagi seperti nama, alamat, nama ibu bapa, ketinggian dan berat badan, cuma mengemas kini rekod tersebut mengikut perkembangan diri murid, Rekod ini akan dibawa oleh murid walaupun mereka berpindah sekolah. Rekod yang lengkap dan sempurna akan memperlihatkan perkembangan diri murid dari hari pertama memasuki alam persekolahan sehingga hari terakhir mereka bersekolah. - disimpan oleh guru kelas

rekod akademik - merupakan rekod yang penting. Tanpa rekod yang lengkap tentang kemajuan dan perkembangan akademik seseorang murid, sukar untuk membuat penghakiman tentang diri murid tersebut untuk membolehkan pelaporan yang tepat dan boleh dipercayai dihasilkan. Rekod ini dikendalikan oleh guru mata pelajaran yang mengajar murid tersebut dan disimpan oleh guru yang berkaitan. Setiap guru mata pelajaran harus mempunyai rekod akademik setiap orang murid yang dibawah pengawasannya.  Rekod akademik merupakan refleksi sukatan pelajaran, di mana konstruk dan konteks penting yang dikenal pasti dalam sukatan pelajaran disenaraikan untuk direkodkan. Rekod ini boleh disimpan dalam bentuk portfolio yang mengandungi maklumat tentang pentaksiran yang dijalankan ke atas murid seperti ujian, peperiksaan sekolah, kuiz, projek, amali dan juga pemerhatian. Rekod ini juga menyimpan eviden terbaik murid dalam pentaksiran yang dijalan.  Tidak perlu menyimpan segala bentuk eviden, kecuali yang terbaik. Rekod ini akan dibawa kepada guru kelas dan dibincangkan bersama sebelum pelaporan dibuat. Rekod dalam bentuk maya lebih memudahkan penyimpanan dan senang untuk dikeluarkan tetapi perlu mempunyai pendua untuk memastikan rekod tidak hilang sekirannya berlaku sesuatu yang tidak dijangka.


 rekod bukan akademik - ini merupakan rekod sokongan yang melengkapkan maklumat  murid. Seperti juga rekod akademik, rekod ini disimpan oleh guru yang bertanggung jawab dalam aktiviti murid seperti guru Pendidikan Jasmani, Kesihatan, Moral, kelab, persatuan, sukan dan juga kegiatan ekstra kurikulum, iaitu kegiatan di luar sekolah yang disertai oleh murid. Rekod ini juga mengandungi maklumat tentang minat dan kecenderungan murid. Rekod ini sebagai pelengkap maklumat tentang diri seseorang murid itu. Maklumat yang lengkap dari segi maklumat pribadi, maklumat akademik dan maklumat bukan akademik membolehkan guru membuat pelaporan yang tepat tentang seseorang murid itu tentang konstruk yang ingin dibangunkan dalam diri setiap orang pelajar - pengetahuan, kemahiran dan nilai, - kognitif dan bukan kognitif.

Tidak ada satu format yang standard tentang reka bentuk rekod ini, tetapi setiap rekod yang dihasilkan mesti mengandungi konstruk dan konteks yang ingin dibangunkan seperti yang tersurat dalam kurikulum.  Setiap rekod seharusnya mengandungi senarai nama murid, konstruk dan konteks yang ingin dibangunkan, jenis pentaksiran yang dijalankan dan kekerapan pentaksiran dijalankan. Setiap skor yang diberi akan direkodkan  dengan lengkap untuk memberi keadilan kepada murid. Sebagai profesional yang memegang amanah mendidik anak-anak, setiap orang guru hendaklah bersikap sebagai seorang profesional tulen, yang mempunyai nilai dan etika yang harus dipatuhi dan dilaksanakan.

Sekian, buat kali ini, hingga penulisan yang lain, salam hormat dari saya.


Tinta Guru
9 Julai 2012