Tuesday 9 October 2012

Sudut Pandangan TG

Salam hormat kepada semua yang mengikuti blog ini.

10.10.12 - pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan  2012 peringkat kebangsaan di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan oleh TPM, YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin dengan tema Mertabatkan Bahasa Kebangsaan Kita.

  1. Terasa terpanggil untuk menulis sedikit tentang topik ini.  Riak pertama perasaan apabila membaca hebahan ini  sedih dan sayu. Perasaan ini berbaur dengan rasa kecewa dan marah. Kenapa? Di negara orang Melayu yang diperintah oleh orang Melayu, bahasa Melayu kian terpinggir. Selepas 55 tahun merdeka, dan termaktub dalam perlembagaan bahawa Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan negara,Bahasa Melayu masih lagi terkial-kial untuk hidup sebagai satu bahasa yang gah dan disegani. Terasa hina apabila selepas 55 tahun merdeka masih ada keperluan untuk mengadakan bulan Bahasa Kebangsaan sedangkan sepatutnya setiap warga Malaysia  merupakan penutur Bahasa Melayu yang fasih dan digunakan dalan semua bidang - pentadbiran, perniagaan, pengurusan dan sebagainya. Sepatutnya, bulan bahasa adalah untuk bahasa asing, bahasa kedua atau ketiga dan bukan selayaknya Bahasa Kebangsaan masih memiliki bulan untuk dirayakan. Bertambah sedih apabila masih ada warga yang tidak boleh bertutur dengan baik Bahasa Melayu.
  2. Wujud konflik yang besar dalam hal ini, antara pembuat dasar  yang nampak bersungguh untuk memertabatkan bahasa Melayu dan pelaksana yang acuh tak acuh tentang Bahasa Melayu, malah mungkin malu untuk bertutur dalam Bahasa Melayu, baik di dalam negara, apatah lagi di luar negara. Tiada rasa sayang dan bangga dengan bahasa ini, sebaliknya menyanjung tinggi bahasa asing. Bertambah teruk apabila penjawat awam, dari yang paling tinggi hinggalah ke paling rendah, dan pak dan mak  menteri enggan bertutur dalam Bahasa Melayu. Sedangkan merekalah yang sepatutnya pembawa obor, pemangkin kepada perkembangan penggunaan bahasa ini.
  3. Kedudukan Bahasa Melayu di IPT juga semakin mengecut. Kita tidak menafikan keperluan bahasa asing, terutamanya Bahasa Inggeris yang didakwa sebagai bahasa paling dominan dalam dunia hari ini, untuk dikuasai oleh rakyat. Tetapi dengan mengecutnya peranan Bahasa Melayu di IPT, bilakah Bahasa Melayu akan menjadi bahasa ilmu dan bahasa utama dunia? Ilmu bukan hanya ada dalam bahasa Inggeris, ilmu terdapat banyak dalam bahasa Rusia, bahasa Jerman, bahasa Perancis, bahasa Jepun, bahasa Arab, bahasa Korea dan banyak bahasa lain. Bahasa Melayu juga boleh menjadi bahasa ilmu dan bahasa utama dunia sekiranya sikap bangsa Melayu sendiri dan warga Malaysia terhadap Bahasa Kebangsaan ini diubah. Amat sedih apabila UKM yang dilahirkan hasil daripada semangat kebangsaan untuk memertabatkan Bahasa Melayu, kini berubah arah dan meninggalkan Bahasa Melayu jauh ke belakang berbanding dengan Bahasa Inggeris. Amat terpesona kita dengan bahasa Inggeris, dan berjuraianlah air mata para pejuang dulu yang bersusah payah memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, hari ini melihat betapa terhakisnya Bahasa Melayu dari IPT. Harapan yang lebur dalam perjalanan masa oleh bangsanya sendiri.
  4. Amat tidak relevan untuk mengatakan Bahasa Melayu menyekat pemerolehan ilmu. Sejak sekian lama sudah ratusan ribu anak Melayu dan anak Malaysia yang lain, yang bersekolah dalam aliran Melayu sehingga ke menengah atas, mencapai kejayaan cemerlang dalam pelbagai bidang pengajian diluar negara. Bukan dalam bahasa Inggeris sahaja tapi dalam pelbagai bahasa.  Saya bersekolah Melayu hingga darjah enam di sekolah kampung, bersekolah aliran Melayu hingga ke Tingkatan Enam, belajar di UKM yang menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya (masa itu) higga tamat pengajian. 100% dalam bahasa Melayu. Tapi saya juga berjaya memperoleh ijazah Sarjana di USA dan Ph.D di United Kingdom yang tidak menggunakan bahasa Melayu. Boleh, asalkan ada azam, semangat dan ikhlas dalam perjalanan mendapatkan ilmu.
  5. Pihak berwajib seharusnya lebih berlapang dada untuk melihat perkara ini. Amat malang  dan memalukan apabila saban tahun masih perlu diadakan Bulan Bahasa Kebangsaan sedangkan kita telah merdeka 55 tahun. Pegawai atasan perkhidmatan awam seharusnya dilarang menggunakan bahasa asing dalam apa jua keadaan kecuali ketika berurusan dengan orang luar, dan pak dan mak menteri juga harus diwajibkan bertutur dalam Bahasa Melayu dalam sebarang situasi - temu ramah, bual bicara, persidangan, mesyuarat dan sebagainya. Jadilah model terbaik untuk rakyat. BAHASA JIWA BANGSA.

No comments:

Post a Comment