Tuesday 3 July 2012

TG6: PBS -Instrumen Pentaksiran

Salam Satu Malaysia kepada semua.
Dalam pelaksanaan PBS, instrumen merupakan alat yang paling utama untuk mendapatkan maklumat yang akan menjadi eviden kepada keupayaan murid.  Justru itu apakah instrumen yang dimaksudkan?

Dari segi operasi, instrumen adalah alat (tool) daripada mana respons murid didapatkan untuk dihakimi bagi menentukan tentang diri seseorang murid itu, daripada aspek kognitif atau pun bukan kognitif, atau dari segi konstuk yang ingin dibangunkan - pengetahuan, kemahiran dan nilai.  Instrumen terdapat dalam banyak bentuk - selalunya bertulis dan mengandungi banyak item.  Itu tanggapan umum.

Instrumen, sebagai alat untuk menghasilkan eviden, tidak semestinya bertulis. Seorang guru mengaji mentaksir muridnya tidak menggunakan instrumen bertulis, tetapi secara lisan, pendenganran  atau pemerhatian. Begitu juga seorang juru latih sukan, tidak menggunakan instrumen bertulis untuk mentaksir pelatihnya, tetapi dapat membuat penghakiman tentang prestasi setiap pelatihnya. Jadi, kefahaman tentang instrumen haruslah jelas untuk tidak mengelirukan guru dan juga murid. Guru tidak harus tertekan untuk menyediakan banyak instrumen. Contoh yang diberikan ini mungkin boleh membuka minda tentang instrumen. Di sekolah, banyak aspek afektif, iaitu tentang moral dan sahsiah diri murid yang tidak perlu menggunakan instrumen bertulis untuk membolehkan kita mendapatkan maklumat yang autentik tentang seseorang murid itu. Cuma yang perlu ditekankan, guru harus mempunyai sistem perekodan yang sistematik dan teratur untuk membolehkan semua maklumat dan eviden yang diperoleh tersimpan dengan selamat dan disalurkan kepada guru seterusnya yang akan menerima murid tersebut pada peringkat yang lebih tinggi lagi.

Instrumen bertulis pula banyak jenis dan bentuknya. Ujian ringkas, soalan kuiz, peperiksaan bulanan, peperiksaan pertengahan tahun dan hujung tahun, atau peperiksaan semester, soal selidik, senarai semak dan banyak lagi. Cuma guru harus memahami, bagaimana untuk menyediakan instrumen ini dan bila hendak digunakan. Instrumen tidak semestinya mengandungi banyak item. Instrumen boleh terdiri daripada satu item atau beberapa item. Ada instrumen dihasilkan untuk mendapatkan maklumat tentang keupayaan kognitif murid dan ada juga dihasilkan untuk mendapatkan maklumat tentang aspek sahsiah, moral dan sosial murid.

Guru memang amat biasa dengan instrumen kognitif seperti ujian ringkas, peperiksaan bulanan dan peperiksaan semester dan juga dengan item yang digunakan. Terlalu banyak contoh boleh didapati di pasaran, di samping contoh item peperiksaan awam tahun-tahun yang lepas. ,Ada item objektif aneka pilihan, item berstruktur, item subjektif terbuka (open ended), item subjektif respons terhad, padanan dan isi tempat kosong. Bagi pentaksiran sekolah, guru bebas untuk menggunakan kaedah pentaksiran yang paling sesuai untuk muridnya. Mungkin ada guru yang selesa membuat ujian ringkas 5 minit untuk setiap kali masuk kelas, dan maklumat ini dikumpul hingga akhir semester atau akhir tahun untuk membolehkan laporan dibuat. Mungkin ada guru yang selesa mentaksir muridnya  di penghujung setiap topik, setiap bahagian dan sebagainya. Ada guru yang mungkin memberikan ujian secara lisan seperti congak dan ejaan tetapi berdasarkan item yang telah disediakan dalam bentuk instrumen.

Kesamaran mungkin timbul bagi instrumen bukan kognitif. Senarai semak adalah instrumen yang paling banyak digunakan untuk tujuan ini. Senarai semak haruslah mengandungi aspek-aspek penting yang ingin dibangunkan dalam diri pelajar (konstruk), dan ia haruslah standard bagi semua murid. Berdasarkan senarai semak yang telah disediakan, guru boleh membuat pemerhatian, temu bual, soal-jawab dan sebagainya.  Respons yang dikutip haruslah daripada aspek standard dalam senarai semak, bermakna guru harus menetapkan apakah aspek penting penting dalam kurikulum yang wajar ditaksir dan dilaporkan bagi semua murid. Ianya haruslah sesuatu yang bermakna.

Disamping senarai semak, soal selidik boleh digunakan. Soal selidik boleh ditadbirkan kepada murid untuk mereka memberikan respons atau pun boleh ditadbirkan oleh guru secara lisan dan guru merekodkan respons murid. Sekiranya guru ingin mendapatkan respons dalam masa yang singkat daripada ramai murid, soal selidik ditadbirkan secara serentak, tetapi selalunya maklumat daripada kaedah ini kurang tepat. Mentadbirkan soal selidik oleh guru kepada setiap murid  satu persatu akan memakan masa yang lama, tetapi maklumat yang diperoleh lebih boleh dipercayai kerana guru boleh menyoal dengan lebih mendalam pada masa pentadbiran untuk mengurangkan pengaruh bias dan juga penipuan.

Pada tahun pertama tidak dinafikan guru akan merasakan beban yang lebih kerana terpaksa menyediakan logistik PBS seperti menyediakan item dan instrumen, sistem penskoran, penyimpanan dan pelaporan, di samping memikirkan kaedah pelaksanaannya. Namun apabila segala perkara asas ini telah ada, pelaksanaan untuk tahun-tahun berikutnya akan lebih mudah dan licin. PBS adalah pendekatan yang amat baik untuk mendapatkan maklumat yang autentik, sah dan boleh dipercayai tentang seseorang murid kerana guru sendiri yang mentaksir muridnya, menggunakan instrumen serta kaedah yang difikirkan terbaik untuk muridnya. Cuma setiap orang guru haruslah bersikap profesional, jujur dan amanah terhadap tanggung jawab kerana pelaporan yang tidak tepat akibat pengaruh bias, simpati dan faktor-faktor lain akan menjejaskan kualiti pendidikan negara.

Sekian untuk kali ini. Hingga berjumpa lagi, salam hormat dari saya.


Tinta Guru
3 Julai 2012.

No comments:

Post a Comment