Thursday, 28 June 2012

TG5: Pentaksiran Berasaskan Sekolah - bagaimana pelaksanaannya?


PBS mula dilaksanakan pada tahun ini untuk pelajar Ting.1 sekolah menengah seiring dengan keputusan memansukhkan PMR dalam tempoh tiga tahun lagi. Memang ramai yang merasa gusar akan pemansukhan ini, dan ini tidak dinafikan kerana selama lebih 50 tahun, sistem pendidikan negara dibelenggu oleh sistem peperiksaan berpusat yang amat rigid. Namun kita harus berlapang dada, membuka minda untuk berfikir di luar kotak. Sistem pendidikan tanpa peperiksaan sebenarnya telah lama wujud di banyak negara, terutamanya negara maju, antaranya Finland, Denmark dan Kanada. Dan walau pun tanpa peperiksaan, negara-negara ini terus unggul dalam sistem pendidikan dunia.

PBS diwujudkan dengan prinsip untuk mengurangkan tekanan peperiksaan, mewujudkan satu sistem pentaksiran yang fleksibel, lebih bersifat insaniah, menghasilkan maklumat yang autentik, di samping mengiktiraf hasil guru di dalam bilik darjah dan juga di sekolah.

Bagaimana pelaksanaan PBS?

Seperti yang diterangkan sebelum ini PBS mengandungi lima komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Peperiksaan Pusat (PeP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani dan Kokurikulum (PAJK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).


Senario di sekolah

Seorang guru sekolah menengah biasanya mengajar subjek khusus seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matemetik, Sains, Geografi, dan Sejarah. Setiap orang guru akan mengajar beberapa kelas dalam tingkatan yang sama atau tingkatan yang berlainan bermakna seorang guru mata pelajaran akan bertanggung jawab ke atas sekumpulan murid yang mungkin bilanganya lebih daripada seratus orang.  Setiap kelas pula mempunyai guru tingkatan.

Berdasarkan pengalaman sendiri, dan penceritaan guru yang berpengalaman,  hasil interaksi dengan murid setiap kali pertemuan mereka sama ada di dalam kelas atau di sekolah, mereka dapat mengenali setiap orang murid di bawah tanggung jawabnya, sama ada dari segi akademik dan juga bukan akademik.  Satu perkara yang harus difahami, PBS dihasilkan atas andaian semua guru adalah profesional, telah mendapat latihan perguruan yang sempurna, amanah dan bersikap adil terhadap semua muridnya. Ini janji bidang profesyen ini.  Setiap guru juga memilik pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pentaksiran kerana ini akan menjadi penentu kejayaan program PBS ini.  Andaian juga dibuat setiap sekolah mempunyai Pengetua dan barisan kepimpinan sekolah yang profesional - memiliki pengetahuan bidang profesyen ini dan juga memiliki sifat kepimpinan dan pengurusan yang baik. Guru dan pihak pengurusan sekolah mesti bergerak sebagai satu pasukan yang efektif untuk menjamin kejayaan PBS.

PBS juga diwujudkan bagi menghargai usaha guru di sekolah yang selama ini tidak diambil perhatian apabila membuat penilaian akhir murid. Guru membuat ujian (ujian pendek, ujian bulanan, ujian pertengahan tahun, ujian akhir tahun), membuat kuiz, congak, ejaan, berkomunikasi, memerhati murid sepanjang masa. Guru melihat murid bertindak balas semasa di dalam kelas, di padang permainan, semasa perhimpunan, semasa majlis keramaian dan pelbagai lagi situasi. Guru berbincang dengan guru lain tentang murid.  Semua ini merupakan maklumat yang amat berharga dalam pentaksiran kerana inilah yang merupakan maklumat yang real..yang autentik tentang murid tersebut. Maklumat inilah yang perlu di'capture' oleh guru untuk dilaporkan dalam PBS.  Murid ditaksir dalam keadaan mereka sedar atau pun tidak.

Apa yang perlu disediakan oleh guru dan sekolah?
  1. Instrumen pentaksiran
  2. Satu sistem perekodan yang lengkap. 
  3. Portfolio setiap orang murid - 
  4. Struktur penyelarasan skor murid
  5. Ruang penyimpanan portfolio murid.
Sekian untuk kali ini, akan disambung lagi pada penulisan akan datang, insyaallah.




Tinta Guru
29 Jun 2012

Tuesday, 26 June 2012

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS) - TUGAS YANG MENGELIRUKAN???

Salam Satu malaysia kepada semua yang mengikuti blog ini. Maaf kerana agak lama mendiamkan diri akibat kekangan masa. Insyallah, saya akan cuba menulis sekerap mungkin mengikut keupayaan diri, semoga Allah memberi kekuatan dan ilham kepada saya.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ada saya sentuh dalam blog hazim-anak rantau. Namun elok rasanya saya tuliskan juga pada blog ini agar dapat memberi manafaat kepada semua. Apa yang saya tulis adalah berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya selama ini.  Sekiranya ada persoalan atau kemusykilan, saya mengalu-alukan pandangan dan perbincangan daripada mana-mana pihak.

PBS mula dilaksanakan pada tahun ini untuk pelajar Ting.1 sekolah menengah seiring dengan keputusan memansukhkan PMR dalam tempoh tiga tahun lagi. Memang ramai yang merasa gusar akan pemansukhan ini, dan ini tidak dinafikan kerana selama lebih 50 tahun, sistem pendidikan negara dibelenggu oleh sistem peperiksaan berpusat yang amat rigid. Namun kita harus berlapang dada, membuka minda untuk berfikir di luar kotak. Sistem pendidikan tanpa peperiksaan sebenarnya telah lama wujud di banyak negara, terutamanya negara maju, antaranya Finland, Denmark dan Kanada. Dan walau pun tanpa peperiksaan, negara-negara ini terus unggul dalam sistem pendidikan dunia.

PBS diwujudkan dengan prinsip untuk mengurangkan tekanan peperiksaan, mewujudkan satu sistem pentaksiran yang fleksibel, lebih bersifat insaniah, menghasilkan maklumat yang autentik, di samping mengiktiraf hasil guru di dalam bilik darjah dan juga di sekolah. PBS sebenarnya bermula dengan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang dihasilkan oleh di Lembaga Peperiksaan (LP).

SPPK dilahirkan di Lembaga Peperiksaan (LP) sekitar tahun 2007-2009, hasil daripada beberapa siri seminar antara bangsa yang dikendalikan oleh LP di Malaysia, input daripada pakar pentaksiran dari agensi pentaksiran terkenal luar negara seperti Cambridge di UK, ETS di Amerika Syarikat, CITO di Belanda, NZQA di New Zealand, pemerolehan ilmu daripada lawatan kerja serta kursus yang diikuti oleh pegawai LP ke luar negara, input dan pandangan ilmuan pendidikan dalam negara dari universiti tempatan, pandangan tokoh-tokoh masyarakat, bekas pengarah LP, para pendidik dan juga ibu bapa. Segala usaha gigih ini telah diterajui oleh Pengarah Peperiksaan waktu itu, Yg. Bhg. Datu Adi Badiozaman Tuah.  Paduan daripada segala input ini telah melahirkan SPPK yang disaran akan mentranformasikan sistem peperiksaan sedia ada di negara kita kepada sistem pentaksiran yang lebih telus, fleksibel dan autentik.   

Pengubahsuaian terhadap konsep SPPK akhirnya telah merealisasikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang mula dilaksanakan di sekolah-sekolah mulai 2012. PBS adalah SPPK tanpa komponen Peperiksaan Pusat.  Walau bagaimana pun, pada penulisan ini, saya akan menjelaskan serba sedikit tentang kelima-lima komponen SPPK untuk tujuan kefahaman kewujudan sistem ini.

Pentaksiran Sekolah (PS) - merujuk kepada pentaksiran yang sepenuhnya dilaksanakan oleh pihak sekolah, dari pembinaan item hinggalah kepada penghakiman dan penetapan skor. PS memang telah dan sedang dilaksanakan oleh semua guru pada hari ini dan akan terus dilaksanakan, sebagai sebahagian daripada tugas harian guru. PS meliputi keseluruhan hasrat pendidikan yang terkandung dalam kurikulum - pengetahuan, kemahiran dan nilai - justru setiap orang guru semestinya memahami sepenuhnya hasrat kurikulum serta kandungan kurikulum bagi setiap mata pelajaran yang diajarnya. Setiap orang guru juga harus tahu apa yang hendak ditaksir, bagaimana untuk mentaksir, bila mentaksir, siapa yang hendak mentaksir, bagaimana untuk merekod dan bagaimana menyimpan rekod. Kesemua kemahiran  ini adalah sebahagian daripada profesionalisma yang harus dimiliki oleh guru. Tanpa kemahiran ini, profesionalisma guru akan dipersoalkan.  Setiap hari guru bertemu dengan muridnya, berinteraksi dengan muridnya, mengenali dan memahami muridnya..dan selayaknyalah guru yang mentaksir muridnya, terutama aspek yang tidak boleh ditaksir melalui kertas dan pensil seperti kemahiran dan nilai atau adab.

Pentaksiran Pusat (PP) - merujuk kepada pentaksiran yang dilaksanakan oleh guru atau pihak sekolah sepenuhnya pada peringkat sekolah tetapi instrumen, peraturan, prosedur, peraturan penskoran, kaedah pelaporan disediakan oleh LP. Begitu juga tarikh dan tempoh pelaksanaan. Antara contoh PP adalah ujian amali, sidang merancang, ujian lisan, dan kerja kursus.  Bagi tujuan penyelarasan dan penjaminan kesetaraan skor, markah perlu dihantar ke LP pada tarikh-tarikh yang ditetapkan. Pihak LP akan menjalankan tugas pengesanan sepanjang tempoh pelaksanaan PP bagi menjamin pengendalian yang mengikut peraturan serta kesahan dan kebolehpercayaan skor.

Peperiksaan Pusat (PpP)- merujuk kepada sistem peperiksaan sedia ada di mana keseluruhan pengendalian peperiksaan dijalankan 100% oleh LP, dan sekolah hanya menyediakan bilik atau dewan peperiksaan. Walau bagaimana pun, dengan adanya empat komponen pentaksiran yang lain, PpP yang dicadangkan akan mempunyai bentuk dan format yang berbeza. Bilangan mata pelajaran dan juga kertas peperiksaan akan dikurangkan, begitu juga dengan konstruk serta konteks yang ditaksir. PpP perlu dikekalkan bagi sebagai penjaminan kualiti. Kesemua skor, daripada PBS dan juga PpP akan digabungkan untuk menghasilkan skor akhir seseorang pelajar.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani dan Kokurikulum (PAJK) - merujuk kepada pentaksiran aspek jasmani, kesihatan dan juga kegiatan kokurikulum. Jika sebelum ini, aktiviti ini hanya merupakan kegiatan yang sering diambil mudah oleh guru atau pihak sekolah, di bawah SPPK , maklumat  daripada aktiviti ini turut menyumbang ke arah penentuan skor akhir murid. Guru harus merekodkan segala aktiviti ini dengan lengkap agar murid tidak menjadi mangsa kecuaian guru. Pentaksiran Aktiviti Jasmani dan Kesihatan umpamanya bukan sahaja untuk menyumbang kepada skor akhir, tetapi amat penting kepada perkembangan diri dan gerakan motor murid. Tindakan awal boleh diambil oleh guru dan pihak tertentu sekiranya seseorang murid dikesan mempunyai masalah dalam perkembangan diri dan juga pergerakan motor mereka. 

Pentaksiran Psikometrik (PPsi) - ini merupakan bentuk pentaksiran yang baru, mungkin kepada sebahagian besar guru, walaupun kaunselor di sekolah memang telah terdedah dengan bentuk pentaksiran ini. PPsi bertujuan mengesan kecenderungan, minat dan juga aptitud murid seawal mungkin untuk membantu mereka mengikuti bidang pelajaran yang mereka minati. PPsi mengandungi tiga jenis ujian iaitu Ujian Aptitud Am, Ujian Aptitud Khusus dan Inventori Personaliti. Instrumen untuk PPsi mungkin agak asing kepada sebahagian besar guru, namun pihak LP akan membantu pihak guru dan sekolah dalam pengurusan pentaksiran ini. Bila murid akan mengambil PPsi akan ditentukan oleh guru, dan LP akan memberikan cadangan tentang perkara ini. Agak terhad untuk menghuraikan semua aspek ini dalam penulisan ini, namun sekira ada kesempatan nanti, akan saya cuba huraikan tentang PPsi ini. Bentuk dan kerencaman instrumen bergantung kepada tahap umur murid.  Maklumat dan data dari ujian ini juga perlu ditafsirkan dengan betul kerana ia boleh menjejaskan masa hadapan murid sekiranya pentafsiran yang tidak tepat dilakukan.

Pelaksanaan PBS memang menggusarkan banyak pihak, terutama golongan yang selama ini menilai mutu pendidikan melalui peperiksaan. Sebagai satu anjakan paradigma yang besar, tidak dinafikan kebimbangan yang wujud, kerana sesuatu yang baru tidak dapat diketahui keberkesanannya, kecuali setelah dilaksanakan. Seharusnya pihak berwajib telah menyediakan para guru dengan kemahiran yang secukupnya, juga pendedahan kepada para pelajar, ibu bapa/ penjaga dan masyarakat umum untuk memahami perubahan yang besar ini bagi pelaksanaan yang licin dan sempurna.  Dan adalah satu keberanian yang amat dipuji bagi pihak berwajib melakukan anjakan paradigma ini. Kita mahu melihat sistem pendidikan kita sebagai yang hebat di dunia..sebagai peneraju, bukan sebagai pengikut, dan ini tidak mustahil direalisasikan, dengan keberanian.

Semoga bertemu lagi pada penulisan yang lain.

Tinta Guru
29 Jun 2012

Wednesday, 11 April 2012

TG3 : PERLUKAH MARKAH LULUS DALAM PEPERIKSAAN?

Salam hormat kepada semua.

Blog ini membicarakan tentang hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan, terutamanya pentaksiran pendidikan. Banyak perkara yang boleh disentuh tentang pentaksiran dalam sistem pendidikan negara kita. Saya ada membicarakan tentang hal ini serba sedikit dalam blog saya yang lagi satu..http://hazim-anakrantau.blogspot.  Sekiranya berminat bolehlah merujuk kepada blog tersebut.

Satu persoalan yang sering timbul dan sehingga kini tiada jawapan, kenapa mesti ada markah gagal dalam peperiksaan? Apakah fungsi peperiksaan untuk menggagalkan murid? Apakah kebaikan apabila kita melabelkan seseorang murid itu gagal? Apa sebenarnya gagal itu? dan banyak lagi persoalan-persoalan yang boleh ditimbulkan.

Andaiannya begini. Seorang murid apabila memasuki alam persekolahan, sama ada tadika atau darjah satu, sebenarnya mempunyai pengetahuan kosong tentang banyak bidang ilmu. Lalu sepanjang masa persekolahan, mereka diberikan pelbagai jenis ilmu serta kemahiran lain, seperti yang disuratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan merangkumi bidang intelek, emosi, rohani dan jasmani, atau dalam kurikulum kebangsaan sebagai pengetahuan, kemahiran dan nilai/adab. Maka apabila murid itu meninggalkan alam persekolahan, apakah minda murid tersebut tetap kosong seperti sebelum memasuki alam persekolahan? Amat pelik sekiranya itu yang berlaku kerana itu menggambarkan kualiti sesuatu sistem pendidikan,  tetapi realitinya, murid tersebut tetap memperoleh sesuatu daripada proses pembelajaran yang telah dialaminya. Bermakna ada penambahan nilai dalam diri murid tersebut.

Ketika memasuki sekolah, seorang anak tidak tahu apa itu A, B, C....atau 1, 2, 3.... tapi diakhir persekolah dia sudah boleh menulis dan membaca dengan baik, mengenal angka dan boleh membuat pengiraan dengan baik...adakah itu kegagalan? Kenapa anak itu dikatakan gagal apabila dikatakan tidak lulus dalam UPSR sedangkan dia sudah boleh menulis, membaca dan mengira. Adakah adil kepada anak itu kejayaannya mengenal huruf dan angka tidak dilaporkan sebaliknya kegagalan dalam UPSR yang dilaporkan. Pernahkah terlintas dalam benak para pembaca apa sebenarnya makna A atau E dalam UPSR?

Serba sedikit ingin diterangkan tentang persoalan ini. Peperiksaan menguji seorang murid melalui instrumen yang mengandungi mungkin 40, 50 atau 60 item. Item-item  itu merupakan pensampelan daripada keseluruhan sstu-satu bidang ilmu yang diajar. Walau apa pun mata pelajaran, hakikatnya, 40, 50 atau 60 item tidak berupaya menguji keseluruhan bidang ilmu dalam mata pelajaran tersebut. Ia hanya pensampelan, dan perlu dijawab dalam masa mungkin 60 minit atau 90 minit. Apakah bilangan item tersebut dan jangka masa murid menjawab dapat menggambarkan proses pembelajaran aspek-aspek bukan kognitif dalam diri murid tersebut dan kemahiran yang dipelajarinya selama 6 tahun?

Penentuan markah gagal juga menjadi persoalan terhadap keadilan kepada murid.  Apabila sebuah sekolah menetapkan 50 sebagai markah lulus, ada sekolah yang menetapkan 45 dan ada juga sekolah yang menetapkan 40. Kenapa wujud perbezaan ini? Apakah sandaran dan wajaran yang dibuat oleh sekolah-sekolah tersebut apabila menetapkan markah-markah lulus yang berbeza bagi mata pelajaran yang sama? Kita tidak seharusnya gembira apabila melabelkan seseorang murid itu gagal kerana hakikatnya tidak ada kegagalan dalam pendidikan. Ada yang dipelajari oleh murid semasa di sekolah dan itu merupakan nilai tambah kepada dirinya. Dan apakah kita gembira atau merasa puas apabila meletakkan murid yang memperoleh markah 49 sebagai gagal sama keupayaannya dengan murid yang memperoleh markah 0 atau 1, sedangkan keupayaan murid tersebut lebih hampir dengan murid yang memperoleh markah 50. Hanya 1 markah yang membezakan mereka.

Justru, pemikiran semula tentang sistem peperiksaan berpusat di negara kita harus dilakukan secara serius. Wilayah Ontario dan beberapa wilayah lain di Kanada telah menghapuskan peperiksaan berpusat sejak lebih 50 tahun yang lalu. Begitu juga dengan negara Finland dan beberapa buah negara lain di Eropah, telah menghapuskan peperiksaan berpusat, sebaliknya melaksanakan sistem pentaksiran formatif,  di mana keseluruhan pentaksiran dilakukan oleh pihak sekolah - pentaksiran berasaskan sekolah. Murid ditaksir bukan hanya dalam bidang kognitif, tetapi juga dalam bidang bukan kognitif - afektif dan psikomotor.  Untuk memasuki institusi pengajian tinggi atau alam pekerjaan, ujian khusus berkait dengan apa yang hendak dilakukan diadakan.  Tanpa peperiksaan berpusat, guru lebih profesional dalam menjalankan tugas, lebih kreatif kerana mereka lebih bebas berkarya tanpa tekanan, mencari kaedah terbaik untuk pengajaran dan pembelajaran, dan mempunyai masa dan ruang untuk menjalankan kajian tentang pendidikan. Anak-anak juga lebih gembira belajar mengikut kecenderungan masing-masing dengan bantuan guru dan pihak sekolah. Tidak perlu ada persaingan untuk menjadi sekolah terbaik, kurikulum dibentuk oleh sekolah mengikut persekitaran dan sifat masyarakat.  Kurikulum  standard merupakan kerangka umum yang  yang perlu diisi oleh sekolah.

Apabila wujud peperiksaan berpusat, walau sebagaimana cantik program pendidikan yang digubal, guru tetap akan mengajar ikut peperiksaan. Kurikulum ditinggalkan, dan kertas peperiksaan merupakan kurikulum yang digunakan. Lebih memburukkan keadaan, kurikulum diperincikan sedetail mungkin sehingga tiada ruang untuk guru berkreativiti, malah segala aktiviti, istilah, perkataan, kaedah pengajaran diatur untuk guru. Sepanjang masa guru hanya memikirkan tentang menghabiskan kurikulum, iaitu kandungan mata pelajaran dan peperiksaan, dan mengabaikan yang lain. Akhirnya lahirlah anak-anak yang tempang dalam pembangunan dirinya - mungkin cemerlang dalam akademik tetapi tidak cemerlang dalam nilai diri, adab sopan, pembangunan diri, dan keyakinan diri.

Sekian untuk kali ini.

Tinta Guru
11 April 2012







Sunday, 8 April 2012

TG2: Peperiksaan

Salam kepada semua.

Peperiksaan tidak dapat dipisahkan daripada proses pendidikan. Itu pandangan umum malah peperiksaan seolah raksasa yang sentiasa menghantui pemikiran anak-anak di sekolah. Kepada guru, pengajaran tidak dapat dilakukan tanpa peperiksaan, kepada murid, pembelajaran tidak bermakna tanpa peperiksaan, kepada massa, pendidikan tidak tidak meriah tanpa peperiksaan, kepada pembuat dasar, mereka tak tahu apa nak buat tanpa peperiksaan dan kepada tauke-tauke kelas/sekolah tuisyen, mereka tak boleh hidup tanpa peperiksaan. Benarkah apa yang dihujahkan itu?

Sekian lama tokoh-tokoh pendidikan membicarakan tentang hal ini,pelbagai pandangan dilontarkan dan pelbagai percubaan dilakukan untuk meningkatkan mutu peperiksaan, maka kita melihat evolusi perkembangan peperiksaan secara perlahan, bermula sebagai sesuatu yang amat rigid seperti yang berlaku di China, kemudian bersandarkan teori ujian merujuk norma, berpindah kepada ujian merujuk kriteria, dan akhirnya kini ujian merujuk standard.

Ujian Merujuk Norma berdasarkan teori lengkok taburan normal, di mana sekumpulan manusia, benda atau apa sahaja diandaikan berada dalam taburan normal - sebahagian besar berada dalam kumpulan pertengahan (68.26%) sementara sebilangan kecil berada dalam kumpulan tertinggi (15.86) dan terendah (15.86%). Taburan ini berdasarkan 4 sisihan piawai ke atas dan ke bawah min (0). Berdasarkan taburan normal, setiap murid mempunyai kedudukan antara yang paling tinggi dan paling rendah, bermakna kita boleh membandingkan seorang murid dengan murid yang lain berdasarkan prestasinya menjawab item dalam instrumen peperiksaan. Pelaporan menggunakan huruf (A, B, C....) atau angka (1, 2, 3, ....)tunggal tanpa huraian maknanya.

Ujian Merujuk Kriteria dikaitkan dengan ujian masteri (mastery test). Satu set kriteria dibentuk sebagai rujukan apabila murid diuji untuk melihat setakat mana kemahiran yang mampu diperolehi oleh seseorang murid setelah melalui satu-satu pengalaman pembelajaran. Tidak berdasarkan taburan normal, secara teorinya, satu-satu mata pelajaran boleh dikuasai sepenuhnya (100%) oleh keseluruhan murid atau tiada seorang pun yang boleh menguasainya. Namun pada praktisnya ini tidak pernah berlaku kerana pelbagai faktor dalam penentuan kelulusan satu-satu mata pelajaran.  Seperti Ujian Merujuk Norma, pelaporan Ujian Merujuk Kriteria juga menggunakan huruf atau angka tunggal tanpa hurian.

Ujian Merujuk Standard merupakan pendekatan terkini dalam sistem pentaksiran, istilah yang digunakan bagi istilah peperiksaan yang digunakan selama ini. Ujian Merujuk Standard menggunakan band bagi meletakkan murid pada tahap pencapaian dan keupayaannya. Kebiasaannya 6 band digunakan, bermula dengan band 1, band 2, band 3...band 6. Setiap band mempunyai huraian tentang pencapaian dan keupayaan murid bagi setiap konstruk yang ingin dibangunkan dalam diri pelajar seperti yang dinyatakan dalam sukatan pelajaran. Tidak seperti ujian merujuk norma dan ujian merujuk kriteria yang hanya berfokuskan kepada pencapaian akademik dan kemahiran tertentu, ujian merujuk standard melaporkan tentang keseluruhan konstruk yang ingin dibangunkankan - pengetahuan, kemahiran dan nilai/adab.  Pelaporan bersifat kualitatif dan juga kuantittif.

Sekian untuk kali ini, hingga penulisan seterusnya.....salam hormat dari saya.


Tinta Guru
8 April 2012




Friday, 6 April 2012

TG1 : Pentaksiran Pendidikan

Salam hormat kepada semua.

Buat permulaan, serba sedikit ingin saya menerangkan tentang apa yang dimaksudkan dengan Pentaksiran dalam pendidikan. Di negara kita lazimnya, istilah ini boleh dikatakan agak baru dalam dunia pendidikan kerana kita telah sekian lama diselubungi dengan istilah peperiksaan. Peperiksaan telah wujud sejak zaman purba lagi, seawal 2357SM  iaitu semasa zaman pemerintahan maharaja Shun di China (Ebel,1972), bertujuan menentukan siapa dan ke tahap mana seseorang boleh berkhidmat dengan pemerinth. Peraturan peperiksaan amat ketat, memakan masa 2-3 hari untuk satu-satu perkara yang diperiksa, dan calon tidak boleh meninggalkan tempat peperiksaan kecuali untuk ke tandas. Makanan mesti dibawa sendiri oleh calon.

Di negara kita, peperiksaan formal mula dilaksanakan sejak negara mencapai kemerdekaan, awalnya dikendalikan oleh Cambridge Examination Board sebelum diambil alih oleh Lembaga Peperiksaan sepenuhnya pada tahun 1978. Peperiksaan memainkan peranan yang amat penting dalam sistem pendidikan negara dan maklumat peperiksaan digunakan sebagai penanda aras keberkesanan sistem pendidikan negara. Pancapaian murid memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STAM dan STPM menjadi kebanggaan - tersebar luar oleh semua bentuk media.  Murid yang memperoleh keputusan cemerlang dinobat sebagai wira, diberi liputan meluas dan penghargaan oleh pelbagai pihak.  Namun timbul persoalan, setakat mana sebenarnya peperiksaan menunjukkan kejayaan sistem pendidikan negara kerana peperiksaan hanya menilai keupayaan kognitif murid.  Adakah murid cemerlang peperiksaan ini juga cemerlang dalam bidang lain - psikomotor dan afektif/nilai/adab? Di mana letaknya Falsafah Pendidikan Negara dalam sistem peperiksaan?

Insyaallah, perkara ini akan saya kupas pada penulisan akan datang.

Sehingga bertemu lagi, salam hormat dari saya.

Tinta Guru
6 April 2012

Thursday, 5 April 2012

Salam Perkenalan

Salam kepada semua yang sudi mengikuti blog ini. Blog ini baru saja diwujudkan sebagai wadah bagi saya berkongsi pengalaman dan serba sedikit ilmu yang ada.  Semoga Allah memberikan rahmat kepada kita semua yang berminat mencari ilmu, walau pun pada usia berapa. Pembelajaran sepanjang hayat, semoga ilmu dan pengalaman yang dikongsi bersama memberi kebaikan kepada kita semua.